Tiga
perkara utama yang memainkan peranan signifikan dalam prospek kehidupan
seharian para belia pada masa ini dan masa hadapan akan dibincangkan
pada Kongres Belia Kebangsaan 2019 (KBB 2019) yang bertemakan 'Bersama
Mencorakkan Masa Hadapan Kita'.
Ketiga-tiga
perkara tersebut iaitu 'Belia Siaga Masa Depan' (Future Ready Youth);
'Penglibatan Belia' (Youth Participation); dan 'Keusahawanan'
(Entrepreneurship) akan dijadikan sebagai topik-topik perbincangan utama
dalam forum dan bengkel semasa berlangsungnya kongres selama dua hari
bermula 16 hingga 17 Jun 2019 di Dewan Persidangan Utama, Pusat
Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Perkara
tersebut dikongsikan dalam Sidang Media bagi membarigakan KBB 2019 yang
dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan)
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolonel (B) Pengiran
Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said yang diadakan di Dewan Citra
Budaya, bangunan KKBS.
Kongres
tahun ini merupakan pengendalian kali kedua sejak pertama kali diadakan
pada tahun 2008 yang dianjurkan dengan kerjasama KKBS dengan
rakan-rakan strategik dari Majlis Belia Brunei; Persatuan Usahawan Muda
Brunei (YEAB); Gild Siswazah Universiti Brunei Darussalam; Generasi
Bekarih dan Syarikat Pengurusan Al Huffaz.
Lebih
500 belia berumur 15 hingga 40 tahun dijangka menyertai kongres
tersebut melalui pendaftaran dan jemputan yang akan dibahagikan kepada
tiga kumpulan mengikut topik-topik perbincangan utama.
Selain
itu, kongres juga akan mendatangkan beberapa penceramah jemputan dari
dalam dan luar negara terdiri daripada tokoh-tohoh ternama di negara ini
dan juga yang berjaya di bidang perniagaan dan perusahaan sosial, untuk
mengongsikan pengalaman dan ilmu pengetahuan untuk menjadi sumber
inspirasi belia kita.
Pada
kongres itu nanti, para belia diharap dapat berinteraksi menyuarakan
pendapat dan pandangan yang membina terhadap perkara-perkara yang
dibangkitkan, untuk diselaraskan dengan dasar-dasar yang sedia ada bagi
kemajuan dan pembangunan belia bagi menghasilkan resolusi-resolusi yang
memenuhi hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Dengan
ini, KKBS menyeru dan mengalu-alukan penyertaan belia yang berminat
untuk tidak melepaskan peluang keemasan menjadi peserta kongres yang
mana pendaftaran dibukakan sehingga 2 Jun 2019 melalui laman sesawang
rasmi KBB 2019 dan maklumat lanjut mengenainya boleh melayari
'www.kongresbelia.gov.bn'.