Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua maka Kongres Belia Kebangsaan kali kedua dapat diungkayahkan pada tahun ini setelah ia dilangsungkan buat julung kalinya pada tahun 2008.
Belia adalah generasi harapan bangsa dan negara untuk masa kini dan masa akan datang. Majunya sesebuah negara bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan belia dalam menanai dan sama-sama memikul tanggungjawab membangun bangsa dan negara serta menjayakan Wawasan Brunei 2035. Dewasa ini, dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran yang hebat seperti ketidakpastian dalam pertumbuhan ekonomi global, globlalisasi dan revolusi Industri ke-4 yang setentunya mempengaruhi cara hidup, kerja dan masa depan kita. Ini adalah cabaran genting yang dihadapi oleh para belia kita. Oleh yang demikian, belia kita perlulah dibangunkan agar mereka bersiap siaga masa depan dan dapat menyumbang secara proaktif kepada kemajuan diri, bangsa dan negara.
Dalam konteks inilah Kongres Belia Kebangsaan dilaksanakan sebagai wadah bagi belia mengongsikan pemikiran yang bernas dan solusi kepada cabaran semasa dan akan datang. Justeru itu, tema kongres kali ini “Bersama Mencorakkan Masa Hadapan Kita” adalah bertepatan dan mencerminkan hasrat negara agar belia berani tampil ke hadapan bagi sama-sama menyahut cabaran dan menjadi agen perubahan pembangunan belia dan negara. Tiga topik utama yang dinilai sebagai memainkan peranan penting dalam kehidupan harian belia akan dibincangkan dalam kongres kali ini. Ketiga-tiga perkara itu ialah Belia Siaga Masa Depan, Penglibatan Belia dan Keusahawanan.
Oleh itu, saya menasihatkan kepada para belia agar dapat merebut peluang keemasan ini dalam sama-sama menyumbangkan pemikiran yang bernas bagi menangani ketiga-tiga isu belia ini. Saya percaya dengan adanya penyertaan yang aktif dan inklusif ini akan dapat menghasilkan resolusi kongres yang lebih mantap dan boleh diterima pakai bagi merancang program dan aktiviti pembangunan belia yang lebih relevan dan berimpak tinggi pada masa akan datang.
Akhir kata, saya dengan berbesar hati ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa, rakan-rakan strategik dan semua pihak yang terlibatdalam menjayakan Kongres Belia Kebangsaan 2019 pada kali ini. Semoga kongres ini akan berjalan dengan sempurna dan jayanya serta menghasilkan impak yang dihasratkan, Insha-Allah.