Sign In
Mobirise Website Builder
Manage PermissionsManage Permissions

03.06.2019 | Kongres Belia Kebangsaan, 16 Jun

04/06/2019

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya akan menganjurkan Kongres Belia Kebangsaan 2019 dengan tema 'Bersama Mencorakkan Masa Hadapan Kita'.

 

Kongres akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada Ahad, 16 Jun dan Isnin, 17 Jun 2019, bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Kongres Belia Kebangsaan 2019 adalah Kali Ke-2 diadakan. Kali pertama kongres seumpama itu diadakan pada tahun 2008. Pelaksanaan kongres kali ini akan ditumpukan kepada tiga perkara utama yang dilihat memainkan peranan signifikan dalam prospek kehidupan seharian para belia pada masa ini dan masa hadapan.

 

Penumpuan berdasarkan kepada penemuan awal hasil daripada kaji selidik mengenai 'review' Dasar Belia Negara yang dilaksanakan oleh Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS) dengan kerjasama KKBS dengan sampel seramai 3,700 orang belia pada bulan Disember 2018 hingga Januari 2019.

 

Ketiga-tiga perkara berkenaan akan dijadikan sebagai topik-topik perbincangan utama pada forum dan bengkel, iaitu 'Belia Siaga Masa Depan'; 'Penglibatan Belia'; dan 'Keusahawanan'.

 

Matlamat utama Kongres Belia Kebangsaan ialah untuk menjadi wadah bagi belia mengongsikan pendapat dan visi golongan belia secara berstruktur dalam sama-sama menyumbangkan buah fikiran bersama dengan penggubal dasar terhadap cadangan jalan penyelesaian terhadap cabaran-cabaran pembangunan belia masa kini dan masa mendatang ke arah mencapai matlamat Wawasan Negara 2035.

 

Selain daripada itu, kongres akan menghasilkan resolusi-resolusi yang diselaraskan dengan strategi-strategi teras di dalam Dasar Belia Negara, agar ia benar-benar memenuhi hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Penganjuran Kongres Belia Kebangsaan 2019 juga akan diserikan dengan mendatangkan beberapa penceramah jemputan dari dalam dan luar negara, terdiri daripada tokoh-tokoh ternama di negara ini juga yang berjaya di bidang perniagaan dan perusahaan sosial, mereka dijemput bagi mengongsikan pengalaman juga ilmu pengetahuan yang difikirkan berguna sebagai sumber inspirasi kepada belia kita.

 

Di samping itu, tiga topik utama yang akan dibincangkan, iaitu : (i) Belia Siaga Masa Depan (Future Ready Youth) dengan tajuk : Cabaran negara dalam menghasilkan dan mendukung belia yang pintar-industri, seimbang dan siap siaga masa depan; (ii) Penglibatan Belia (Youth Participation) dengan tajuk : Kepentingan memperkasa golongan belia sebagai ejen perubahan dalam masyarakat melalui penglibatan aktif mereka; dan (iii) Keusahawanan (Entrepreneurship) dengan tajuk : Keusahawanan : Peluang bagi belia.

 

Penyertaan Kongres Belia Kebangsaan 2019 dijangka akan disertai melebihi 500 orang belia yang mendaftar dan dijemput selaku peserta kongres yang akan dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut kepada topik-topik perbincangan utama.

 

Penyertaan Kongres Belia Kebangsaan dibukakan kepada belia, berumur di antara 15 hingga 40 tahun yang terdiri daripada berbagai-bagai agensi, termasuk sektor swasta dan awam, Majlis Pelajar dari setiap universiti dan kolej, Pembimbing Rakan Sebaya dan pengawas, Individu Keperluan Khas, wakil dari empat daerah, wakil NGO, belia berisiko dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

 

Kongres Belia Kebangsaan 2019 itu nanti diharap dapat dijadikan sebagai wadah bagi para belia supaya dapat berinteraksi dan menyuarakan pendapat juga pandangan yang membina terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dan diketengahkan untuk diselaraskan dengan dasar-dasar yang sedia ada bagi kemajuan juga pembangunan belia.

 

Perolehan atau resolusi yang diperoleh dari Kongres Belia Kebangsaan 2019 itu diharapkan akan dijadikan sebagai garis panduan dan dijadikan sebagai hala tuju dalam merancang program juga aktiviti bagi belia-belia pada masa akan datang.

 

KKBS dalam pada itu juga menyeru dan mengalu-alukan kepada para belia di luar sana yang berminat untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi menjadi peserta Kongres Belia Kebangsaan 2019.

 

Pendaftaran bagi menyertai Kongres Belia Kebangsaan 2019 dibukakan hingga 2 Jun 2019 dan maklumat lanjut mengenai kongres itu boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi Kongres Belia Kebangsaan 2019 di 'www.kongresbelia.gov.bn' dan ruang sosial media Instagram, iaitu 'Kongresbeliakebangsaan.bn'.

 

Dalam pada itu, para belia lainnya juga dialu-alukan untuk hadir bersama-sama bagi meramaikan lagi Majlis Perasmian Kongres Belia Kebangsaan pada 16 Jun 2019 dan semasa Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Kongres Belia Kebangsaan pada 17 Jun 2019.

 

Attachments