Kongres 
Belia Kebangsaan (KBK) 2019 diharapkan akan menjadi satu permulaan 
transformasi bagi belia bergerak secara bersatu untuk memajukan negara 
ke arah menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Lebih-lebih
 lagi belia pada masa kini lebih berani tampil ke hadapan dan telah 
berjaya menjadi 'pioneer' dalam bidang terpilih termasuk dalam 
kesukarelawanan, perkhidmatan awam, bidang kreatif dan keusahawanan 
sehingga mampu mengambil peluang bagi meluaskan skop pencapaian secara 
'cross border'.
 
Kenyataan
 tersebut antara yang disuarakan oleh tetamu kehormat, Menteri 
Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka
 Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri 
Paduka Haji Abidin pada majlis perasmian KBK 2019 berlangsung di Pusat 
Persidangan Antarabangsa, Berakas.
 
Yang
 Berhormat juga menekankan bahawa berlangsungnya KBK ialah sebagai detik
 bersejarah bagi golongan belia di mana ianya merupakan platform 
tertinggi untuk para belia menyuarakan pandangan dan perkara-perkara 
keutamaan kerana suara para belia adalah mustahak dan kritikal sebagai 
menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan usaha sehingga para belia 
benar-benar mampu berganding bahu dengan kerajaan.
 
"Maka
 dengan itu Kongres Belia Kebangsaan 2019 adalah tanggungjawab besar 
kita selaku Whole of Nation Approach bagi mempersiapsiagakan belia 
dengan yang terbaik bagi menerajui dan menjamin kesejahteraan negara 
khususnya dalam mengharungi masa depan," kata Yang Berhormat.
 
Terdahulu,
 Majlis Perasmian KBK 2019 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan 
Doa Selamat dipimpin oleh Ustaz Haji Abdul Halim bin Haji Fuad, diikuti 
dengan bacaan Al-Quran oleh Johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia 
Kebangsaan Tahun 1440H/2019M, Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid.
 
Atur
 cara diteruskan dengan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat, disusuli 
dengan Ucaptama bertajuk "Belia Sebagai Pemimpin Kejayaan Wawasan Brunei
 2035" disampaikan oleh Ketua Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Ustaz Haji
 Mas Reduan bin Haji Jumat.
 
Antara
 lain yang disampaikan pada ucaptama tersebut ialah peranan belia-belia 
dalam membangun dan menuju wawasan negara, sama ada sumbangan kecil atau
 besar melalui aktiviti perekonomian dan pembelajaran, mengikut 
kemahiran dan kepakaran masing-masing.
 
Kongres
 bertemakan "Bersama Mencorakkan Masa Hadapan Kita" tersebut diisikan 
dengan tiga sesi forum bertajuk "Belia Siaga Masa Depan"; "Penglibatan 
Belia"; dan "Keusahawanan" dengan kehadiran ahli-ahli panel yang 
dijemput dari pelbagai agensi kerajaan, persatuan-persatuan belia dan 
juga usahawan tempatan yang berjaya.
Lebih
 550 belia menyertai KBK 2019 tersebut yang dibahagi kepada dua bahagian
 iaitu penyertaan forum dan juga sesi bengkel selari (Bengkel Parallel).
 
Hadir
 pada majlis perasmian tersebut Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia 
Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Ahli-ahli 
Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad dan Yang 
Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis; Setiausaha Tetap (Perindustrian), 
Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, 
Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; dan Setiausaha 
Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia 
dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud 
selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kongres Belia Kebangsaan 2019.