Sign In
Mobirise Website Builder

11.10.2018 | Bincang usaha, inisiatif KKBS

12/10/2018

​Beberapa perkara utama mengenai usaha dan inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah dibincangkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diadakan kelmarin di Pusat Sejarah, Bandar Seri Begawan.

Menurut Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, hasil pencapaian kementerian ini bukanlah senang untuk di sukat kerana ianya lebih bersifat ‘intangible’ yang antaranya menjurus kepada kesejahteraan, pembangunan jati diri, pembangunan belia serta semangat patriotisme, kecemerlangan sukan, dan pemeliharaan kebudayaan dan bahasa.

Oleh itu, penelitian ‘return of investment’ telah dibuat bagi memberikan gambaran yang lebih baik terhadap hasil kerja kementerian dan rakan-rakan strategik, khususnya badan bukan kerajaan (NGO).

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menjelaskan, beberapa usaha kementerian selepas sesi permesyuaratan MMN yang lepas, antaranya adalah meningkatkan usaha dalam menyumbang kepada pembangunan, dari segi perekonomian. Di sini, kepentingan gandingan rakan-rakan strategik amatlah ditekankan,termasuk dalam membuka peluang keusahawanan belia.

Ke arah ini, pihak kementerian telah berganding bahu bersama Kementerian Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian semasa Hari Belia Kebangsaan pada 1 Ogos lalu. Menurut beliau, tema ‘Keusahawanan dan Kepimpinan’ akan dikekalkan selama tiga tahun bagi memastikan impaknya, di mana perkembangan usahawan belia akan dapat dipantau, dibantu dan di mentor ke arah kejayaan dan berdaya tahan.

Pada masa yang sama, dalam mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam untuk menghidupkan semula Program Peladang Muda, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah meningkatkan lagi kerjasama dengan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan yang terbaharu, bersama syarikat-syarikat yang menjalankan perusahaan pertanian untuk dijadikan sebagai rakan strategik.

Ke arah ini, pihak kementerian telah mengambil langkah untuk mempromosikan program pertanian ini kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, di samping telah membukakan tawaran kepada para belia untuk dimasukkan dalam program tersebut.

Pada masa yang sama, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga membukakan satu lagi ruang bagi penerima Bantuan Kebajikan Bulanan melalui pelaksanaan Projek Mudah dan Murah, iaitu penanaman sayur-sayuran secara hidroponik di kediaman masing-masing. Setakat ini, seramai 30 keluarga telah dikenalpasti untuk menyertai projek ini.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan juga menyentuh mengenai pendekatan melalui Perkongsian swasta-awam juga kini diterokai, di mana perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Darussalam Enterprise (DARe) sedang dijalankan bagi pengendalian prasarana di bawah tanggungjawab KKBS.

Sementara itu Projek Menjana Keupayaan Usahawan Ibu Tunggal dengan kerjasama BIBD, sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut kepada masyarakat, turut diberikan keutamaan bagi mana-mana inisiatif yang dilaksanakan KKBS.

Tambahnya, beberapa buah syarikat juga menyumbang ke arah penambahbaikan dan pemeliharaan Bangunan Pusat Kegiatan Warga Emas, perkembangan belia dan juga perkhidmatan kepada warga orang kelainan upaya (OKU).

Perkara kedua yang dijelaskan adalah kepentingan belia kepada negara, yang mana perkara ini adalah tanggungjawab sektor kerajaan dan swasta dalam membuat pelaburan ke atas belia.

Menurut beliau, beberapa usaha ke arah itu mula dipergiat seperti berlangsungnya Persidangan Pemimpin Muda Brunei Ogos lalu atas inisiatif ahli MMN Yang Berhomat Awang Iswandy bin Ahmad.

Keberanian belia untuk tampil dan menerajui projek serta program di dalam dan luar negara juga mendapat pujian kementerian, di mana Kongres Belia Kebangsaan bakal diadakan pada Februari tahun hadapan.

Kongres tersebut bertujuan untuk mendengarkan suara dan pandangan para belia mengenai Dasar Belia Negara dan juga hala tuju serta sumbangan yang dapat diberikan oleh mereka ke arah pembangunan negara.

Sementara itu, hasil daripada penelitian mengenai ‘employability’ lepasan penuntut Pusat Pembangunan Belia (PPB) menunjukkan bahawa hanya 20 peratus memperolehi pekerjaan dalam bidang yang diambil semasa kursus.

Perkara ini amat membimbangkan dan perlu penelitian lanjut khususnya dalam hala tuju PPB dari aspek kursus yang perlu ditawarkan, di samping untuk melihat polisi bagi kemasukan para belia yang cenderung bagi menentukan ‘return of investment’ bagi kedua-dua pihak.

Manakala yang perkara ketiga adalah mengoptimumkan penggunaan prasarana KKBS melalui pendekatan inklusif.

Kem kekal Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), seperti yang dihasratkan dalam MMN, telah mencapai kelulusan kaedah penggunaan FRS, di mana penggunaan oleh pihak kerjaaan ditetapkan dalam kadar percuma dan dibukakan bagi penyewaan orang ramai bermula bulan September lepas.

Sumber : Media Permata

Attachments